MINGGU 1 (21-25 Jun) - PERMULAAN PRAKTIKUM DI MRSM BAGAN DATUK

 

Bermula berkhidmat pada 2016 di MRSM Kota Putra, Besut Terengganu. Namun pada bulan Mei 2021, tanpa disangka saya telah dipindahkan ke MRSM yang baru dibuka iaitu MRSM Bagan Datuk, Perak.

Walaupun agak terkejut dengan pertukaran yang tidak disangka ini, bergelumang dengan seribu satu rasa. Akhirnya saya redha dan menerima ketentuan ini dengan hati yang lapang.

Maka bermula lah praktikum saya
di tempat baharu. 

Untuk pengetahuan pembaca, MRSM Bagan Datuk adalah aliran  MRSM Ulul Albal juga seperti mana MRSM Kota Putra. Ianya adalah tambahan kepada lima buah MRSM Ulul Albab sedia ada di seluruh Malaysia, selain MRSM Bera yang juga baru dibuka.

Perjalanan praktikum ini bermula dengan pelantikan guru pebimbing dan supervisor. Setelah berbincang dengan Ketua Jabatan Pendidikan Islam di tempat saya, kami bersetuju agar saya diletakkan di bawah bimbingan Guru Kanan subjek iaitu Ustaz Muhammad Amin bin Sayuti. 

Disebabkan MRSM Bagan Datuk baru beroperasi bermula bulan Mei 2021, kemasukan pelajar hanya daripada Tingkatan 1 (aliran Ulul Albab) dan Tingkatan 4 (aliran Premier). Saya dipertanggungjawabkan untuk mengajar Bahasa Arab Tingkatan 1.

Disebabkan ianya sekolah baru juga, kami masih kekurangan guru dan kakitangan sokongan. Oleh sebab itu, saya diminta mengajar tiga kelas sekali (kebiasaannya hanya dua buah kelas subjek).

Kelas pertama dimulakan dengan sesi perkenalan. Walaupun berinteraksi dalam alam maya, sesi perkenalan berjalan dengan baik. Para pelajar masih kekok untuk memulakan pengenalan diri masing-masing.

Pada kelas pertama ini juga, saya telah memberikan setiap pelajar nombor kehadiran masing-masing. Ini bagi memudahkan saya menyemak kehadiran pelajar selain memastikan suara saya kedengaran dan sampai kepada setiap pelajar yang menyertai kelas saya dengan jelas.

Oleh sebab para pelajar datang daripada latar belakang yang berbeza, ada sebilangan kecil pelajar mempunyai masalah peranti dan sambungan internet yang tidak stabil. Saya mengambil maklum perkara tersebut dan mencatat nama pelajar terlibat. Ini kerana maktab kami ada mengusahakan bantuan data telefon dan juga peranti kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.

Sampai di sini sahaja catatan saya sebagai guru praktikal pada minggu ini. Bersama ini saya kongsikan tangkap layar sesi kelas yang berlangsung.





Comments