MINGGU 2 (28 JUN-2 JULAI) - FOKUS

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca sekalian.

Bertemu lagi kita dalam coretan perjalanan kisah saya sebagai guru praktikal di MRSM Bagan Datuk.

Pada minggu lepas, setelah sesi pengenalan dan suai kenal. Minggu ini kelas yang lebih berfokus dan rancak telah bermula. Ini disebabkan kemasukan pelajar yang lewat ke sekolah kami. Malah daripada kaji selidik yang dijalankan pihak sekolah, terdapat pelajar yang telah lama tidak belajar secara rasmi kerana menunggu masa untuk masuk ke MRSM. 

Minggu Kedua

Pada minggu ini juga, saya telah diberi tanggungjawab menjaga kelas tasmik 1-Ibnu Khaldun dengan jumlah pelajar seramai 23 orang. 

Justeru itu, selain tugas sebagai guru subjek Bahasa Arab Tingkatan 1, saya juga diberi tugas sebagai Guru Tasmik Tingkatan 1.

Kelas tasmik saya bermula jam 7.30 pagi. Pada minggu pertama ini, Penyelaras Ulul Albab di maktab kami telah memutuskan untuk semua guru mengajarkan asas-asas tajwid dan berkongsi cara bacaan yang betul dengan pelajar. Oleh itu, saya telah menyiapkan beberapa bahan bantu mengajar seperti slaid dan nota untuk rujukan pelajar menggunakan aplikasi Microsoft Whiteboard. Aplikasi ini sangat mudah digunakan untuk memasukkan nota dan menulis/menconteng di atas nota tersebut semasa sesi pembelajaran dan pengajaran berlangsung.



Untuk kelas tasmik ini juga,  medium utama saya adalah Google Meet untuk sesi pembelajaran dan pengajaran.

Seterusnya, walaupun sesi persekolahan baru bermula, pihak pengurusan maktab telah mula melakukan pencerapan kepada sesi-sesi pdpr yang berlangsung. Kelas tasmik saya telah dipilih oleh Pengetua untuk dicerap pada minggu ini.

Dengan penuh debaran 😨, saya menjalankan sesi pembelajaran seperti biasa. Tajuk yang diajarkan kepada pelajar pada kelas hari ini adalah Nun Sakinah & Tanwin dan juga Mim Sakinah.


Sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan baik. Pelajar memberi respon yang lebih positif. Tidak malu-malu seperti kelas pada minggu lepas.

Alhamdulillah, pengetua juga memberi respon balas yang positif terhadap sesi pdpr yang dijalankan. 



Kata-kata semangat dan respon positif daripada Pengetua menjadikan saya lebih bersemangat untuk menjadikan sesi pengajaran saya lebih menarik dan bagi mencapai ouput dan hasil pembelajaran yang yang terbaik. 💪💪💪

Sekian saja laporan praktikal saya pada minggu ini. Jumpa lagi di minggu hadapan. Terima kasih 😄


Comments